Monday, April 5, 2010

DENGAN KEYAKINAN


IJAB JANGAN TERHIJAB!

Dahulu melafaz qabul, “aku terima nikah…” Sebentar tadi baru melafazkan ijab, “aku nikahkan akan dikau.” Puluhan tahun berlalu. Jarum waktu bergerak begitu laju dalam arlogi takdir dan tadbir. Kalau dulu hatiku bergetar kerana menerima tanggung-jawab, kini hatiku bimbang kerana ’melepaskan’ tanggung-jawab.

Bagaimana, mampukah aku mendidik isteriku? Begitulah suara hati ketika tanganku bersalaman dengan Qadi puluhan tahun yang lalu. Sejuk, dingin, terasa meresap ke seluruh anggota. Sejak saat itu ’masjid’ yang dibina menagih seribu usaha, sejuta setia. Telah banyak kepedihan yang ditagih menjadi baja keteguhan. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup. Yakin hakikat itu… suami-isteri berkayuh air mata menongkah badai gelora!

Jika matlamat telah tepat, apakah ada pilihan lain selain meneruskan perjalanan?Layang-layang hanya naik apabila melawan angin, bukan mengikutnya. Dan begitulah jua hidup ini, dengan ujian barulah naik darjat kita di sisi Allah.

Hidup selagi hidup. Jangan hidup sebagai bangkai bernyawa, yang hilang semangat dan upaya.Kata bijak pandai, “jika tidak ada apa yang boleh menggembirakanmu, jika tidak ada apa yang boleh menyedihkanmu, dan jika tidak ada apa lagi yang ingin kau perjuangankan dalam hidupmu… Itu petandanya kau sudah mati.

Zahirnya sahaja kau masih bernyawa, tetapi hakikatnya kau adalah ‘mayat’ dalam keranda maya.” Alhamdulilah, sampai kini aku masih mampu ketawa dan menangis… masih menyala cita-cita dan harapan… petanda aku masih hidup.

Itu ceritaku sewaktu bernikah dulu. Tetapi kini cerita anakku. Maaf, hakikatnya ini bukan ceritaku, tetapi cerita kita – rumahtanga ayah-ibu sebagai pantulan rumahtanga anak-menantu. Ketika ku lepaskan kalimah ijab, baru kusedar bahawa kekadang ’melepaskan’ tanggungjawab adalah lebih berat daripada menerimanya. Apakah anakku (dan anakmu jua) akan tega dan rela menjadi isteri sesetia ibunya? Apakah dia akan menerima segala ’kekurangan’ suami sebagai kesempurnaan dalam rumahtangga?

drp: ustaz Pahrol Mohd Juoi

No comments:

Post a Comment